JULAI 2020

Lesen Internet Bakal Bawa Kesan Positif Bagi Penduduk Luar Bandar


KUCHING: Keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi Sarawak lesen Internet sepertimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg akan membawa kesan positif terutamanya bagi penduduk luar bandar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom, sekiranya Sarawak diberi peluang mempunyai lesen syarikat telekomunikasinya sendiri, ianya pasti akan memudahkan usaha memperkasakan liputan internet di seluruh Sarawak, khususnya yang berada di luar bandar.

“Ianya pasti akan membantu komuniti di luar bandar terutamanya berkaitan dengan perhubungan telekomunikasi, pertanian moden, kesihatan, E-Dagang dan sebagainya yang menggunakan perkhidmatan internet.

“Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas usaha beliau dan betapa bermaknanya perkara ini kepada kami yang menetap di luar bandar. Dengan kadar bayaran Internet bersubsidi, perkhidmatan itu semenangnya akan menjadi lebih murah dan tidak akan membebankan komuniti luar bandar,” katanya bagi memberi respon kepada kenyataan Abang Johari mengenai Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang secara prinsip telah bersetuju untuk berbincang mengenai pemberian lesen internet kepada Sarawak.

Difahamkan, menerusi perbincangan diadakan baru-baru ini, syarikat telekomunikasi utama tidak mahu pergi ke kawasan luar bandar dan buat masa ini, memiliki menara, tetapi tidak memiliki fasiliti transmisi dan ini menyebabkan masalah penyambungan internet.

Namun, sekiranya Sarawak mendapatkan lesen internet, sudah pasti permasalahan berkenaan akan dapat diselesaikan.

Sumber dari : TVSarawak