KUCHING 19.8.20 - Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abg Johari Tun Abg Hj Openg hadir dan menyampaikan amanat khas sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1442H yang bertemakan "Ummah Rabbani Negara Harmoni" dengan tetamu kehormat adalah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud serta Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib bertempat di Masjid Al Abyad, Matang Jaya.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa Awal Akhir tahun 1441H, Solat berjemaah Maghrib, bacaan doa awal tahun 1442H, Tazkirah Maal Hijrah, Amanat Khas Ma'al Hijrah dan Solat Fardu Isyak berjemah.
Dalam ucapan, YAB Abg Jo, terlebih dahulu mengucapkan terima kasih atas kehadiran TYT Tun serta isteri kerana sudi bersama rakyat meraikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1442H.
Seterusnya, YAB Abg Jo menyatakan peristiwa Hijrah merupakan peristiwa yang amat memberi makna kepada umat islam kerana ia telah meningalkan sebuah legasi tentang bagaimana Rasullulah SAW telah memimpin umatnya kearah perubahan besar dengan misi yang jelas, tekad yang bulat, keikhlasan beramal, ketelitian perancangan dan tindakan yang penuh kebijasanaan. Lipatan sejarah telah membuktikan prestasi dan perkembangan islam yang terus meningkat dan meningkat sehingga membina sebuah temadun manusia yang luar biasa adalah berpunca dari titik tolak peristiwa Hijrah Rasullullah dan umat islam dari Mekah ke Madinah.
YAB juga menjelaskan perpindahan umat islam dari Mekah ke Madinah yang membuka lembaran baru dalam sejarah pengembangan agama islam adalah simbol penyatuan ummah dengan kisah penyatuan antara kedua-dua kaum Ansar dan Muhajirin yang akhirnya menjadi titik tolak kepada satu sistem masyarakat yang berpaksikan keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.
YAB juga menyeru semua rakyat Sarawak untuk menguasai ilmu dan kualiti kendiri kerana ia adalah asas kepada kemajuan negara yang kita sama harapkan. Masyarakat yang cemerlang pastinya akan mencurahkan bakti untuk memakmurkan negeri ini dengan sikap hormat-menghormati, saling memahami dan sama-sama bertangungjawab menjaga negeri yang disayangi ini dari sebarang ganguan yang lazimnya datang dari mereka yang rendah kefahaman dan pengertian.
Akhir kata, dengan semangat baharu, tekad baharu dan iltizam yang jitu, saya menyeru kepada umat agar pelihara dan lindungi negeri dan negara ini agar kedamaian dan keharmonian dikekalkan sampai bila-bila.Tanpa menghalangkan kita meraikan sambutan, kita juga turut sama-sama beringat mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri dan kepatuhan kita kepada arahan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian covid-19.
Diakhir Majlis, YAB Abg Jo telah menyerahkan cek bernilai RM915,000.00 dari kerajaan Sarawak kepada Pengerusi JK Masjid Al Abyad untuk pembangunan Masjid yang disaksikan TYT Tun.
Turut hadir bersama, Menteri Pelancongan dan Menteri Kesenian, Warisan dan Sukan, YB Datuk Abd Karim Rahman Bin Hamzah, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Dr Abd Rahman Junaidi, YDP Majlis Islam, Datu Misnu Taha, Mufti Sarawak, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan kenamaan lain.
Sumber dari : Sarawakku