SEPTEMBER 2019

Masyarakat Luar Bandar Terus Terima Pembangunan Yang Dibawa Kerajaan Negeri


MERADONG: Masyarakat di kawasan luar bandar perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri dalam memastikan kelangsungan pembangunan di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, kerajaan negeri sentiasa meletakkan keutamaan untuk membawa kemajuan kepada penduduk di luar bandar secara berperingkat.

Jelasnya, setiap kawasan luar bandar memiliki cabaran geografi yang berbeza, namun kerajaan tetap berusaha untuk mencari alternatif bagi memastikan masyarakat luar bandar menikmati pembangunan seperti rakyat di bandar.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Gawai Antu di Rumah Panjang Selat, Sungai Janting.

Datuk Ding menambah, rakyat di peringkat akar umbi juga perlu memahami kekangan yang kadang-kadang dihadapi jentera kerajaan negeri dalam membawa masuk kemajuan di kawasan mereka.

Justeru katanya, mereka perlu terus menjadi tulang belakang kepada kepimpinan kerajaan negeri yang diketuai Ketua Menteri Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Mengenai sambutan Gawai Antu itu, beliau berharap generasi akan datang meneruskan adat resam berkenaan agar warisan budaya masyarakat Iban tersebut tidak pupus. -Edisi UKAS

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak