DARO: Medan Selera Daro yang akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi bakal menjadi mercu tanda ikonik terbaru di daerah berkenaan.
Dibina dengan kos RM3.3 juta, medan selera itu menampilkan senibina bercirikan masyarakat Melanau dengan bumbungnya direka unik mengikut rekabentuk ‘Terendak’.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad medan selera itu telah 98 peratus siap dan mampu menempatkan sejumlah 25 gerai untuk para peniaga.
“Saya bagi pihak masyarakat di Daro, selaku wakil rakyat merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri lebih-lebih lagi kepada YAB Ketua Menteri yang telah bermurah hati meluluskan projek ini untuk kita di Daro.
“Selain itu, saya juga memohon peruntukkan tambahan dari Ketua Menteri bagi menaiktaraf medan selera ini dan juga telah diluluskan.
“Ini akan menjadikan medan selera ini sebagai mercu tanda atau ikon agar dapat menarik lebih ramai orang-orang dari luar datang ke Daro,” katanya ketika ditemuramah UKAS selepas mengadakan lawatan ke tapak projek itu pada Rabu.
Safiee berkata medan selera itu juga akan dilengkapi dengan pentas mini bagi membolehkan penganjuran program hiburan atau rasmi yang akan menjadi daya tarikan kepada penduduk setempat mahupun orang luar ke tempat berkenaan. – EDISI UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak