JULAI 2020

Pakan Akan Dibangun Sebagai ‘New Township’ - Datuk Patinggi Abang Zohari


PAKAN: Daerah Pakan akan dibangunkan menjadi bandar baru moden yang lengkap dengan kawasan perumahan, pusat komersil serta tempat riadah.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg berkata bagi tujuan itu beliau telah memohon Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak untuk menyediakan pelan induk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi membangunkan Pakan.

“Saya akan masukkan dalam pelan induk untuk membangunkan pekan Pakan. Pakan kita susun semula, pekan kita luaskan termasuk kedai-kedai dan kita buat dalam lingkungan 10 kilometer.

“Kita bangunkan bandar baru Pakan termasuk kawasan perumahan, kedai dan tempat riadah. Pakan akan jadi new township,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Perasmian Jalan Ulu Pakan/Ulu Kota, Pakan (Fasa 2) hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju meneruskan fasa ketiga pembinaan jalan itu bagi memastikan Pakan terus pesat membangun dengan dilengkapi kemudahan elektrik dan air.

Tegas Ketua Menteri, penyambungan jalan berkenaan perlu bagi meningkatkan potensi besar Pakan dalam sektor pertanian untuk dibangunkan menjadi kawasan ‘food basket’.

Ditanya mengenai penyediaan perkhidmatan internet di kawasan luar bandar, Ketua Menteri berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah supaya Sarawak Multimedia Authority (SMA) diberikan lesen penyedia perkhidmatan Internet (ISP) supaya SMA melalui anak syarikatnya menjadi syarikat telco milik kerajaan bagi membolehkannya beroperasi di kawasan luar bandar.

“Tariffnya tidak mahal kerana ada subsidi dari kerajaan. Kita telah menyusun kos dan SMA melihat potensi untuk kita memberi subsidi dan menjadi operator Internet di luar bandar.

“Internet perkhidmatan yang sangat perlu. Bukan sahaja untuk perniagaan tapi juga untuk perkhidmatan lain seperti sekolah, online education,” tambah beliau.

Terdahulu, Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi dalam ucapannya berkata pembinaan jalan membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Zohari sentiasa mengambil berat dan mendengar rintihan rakyat di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau yang bercakap mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri James Jemut Masing menjelaskan pembinaan jalan raya di kawasan luar bandar sangat penting bagi menghubungkan kawasan perkampungan, pekan serta jalan pesisir di seluruh negeri ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki. – EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak