DARO: Lebih 1,000 murid termasuk ibu bapa dan guru memeriahkan sambutan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong Daro semalam.
Acara yang berlangsung di Padang SK Hijrah itu, menyaksikan pelbagai jenis sukan dipertandingkan termasuk larian selain pertandingan tarik tali serta lintas hormat antara rumah.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) , Bolhassan Jol berkata, program kali ini bertambah meriah apabila turut disertai oleh bekas pelajar sekolah berkenaan.
“Malah, kerjasama antara ibu bapa dan guru juga cukup terserlah sepanjang program. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan ahli jawatankuasa PIBG yang hadir dan bertungkus lumus memastikan kejayaan acara sukan tahunan kali ini,” katanya.
Hadir sama Guru Besar, Maryana Mohiden, Penolong Kanan Satu, Ayang Lee, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ahmadi Musairi, Penolong Kanan Ko Kurikulum, Baharuddin Jiren.
Terdahulu Bolhassan dalam ucapannya berkata, sukan mampu berperanan sebagai platform membentuk keperibadian, menyemai sikap bertanggungjawab, berdisiplin selain membina jati diri murid.
Sehubungan itu katanya, PIBG SK Hijrah sentiasa menyokong dan memberi komitmen penuh dengan sentiasa responsif terhadap keperluan murid bagi membantu menyerlahkan bakat mereka dalam sukan.
“Sememangnya aktiviti sukan cukup penting khususnya untuk generasi muda. Selain menjamin kecerdasan minda dan kesihatan, ia juga mampu memupuk kerjasama dan perpaduan.
“Program ini juga mampu membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan,” ujarnya.
Dalam pada itu, johan disandang Rumah Hang Jebat, tempat kedua Hang Kasturi, ketiga Hang Tuah dan Hang Lekir menduduki tempat keempat.
Manakala, bagi acara tarik tali pula Hang Jebat di tempat pertama, Hang Tuah (kedua), Hang Kasturi (ketiga) dan Hang Lekir (keempat).
Sementara itu, Radhi Jahani dan Rosmawati Shahni masing-masing dinobatkan olahragawan dan olahragawati terbaik.
Pada acara kali ini, rumah Hang Jebat turut berjaya mengenepikan cabaran pasukan lain untuk bergelar juara acara perbarisan dan diikuti Hang Tuah di tempat kedua.