JUN 2020

PBB Pantai Damai Beri Sokongan Padu Kepada Abang Jo


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus menerajui Sarawak.

Naib Presiden PBB, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia berdasarkan pelbagai inisiatif telah diperkenalkan Abang Johari sejak memegang tampuk kepimpinan kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, sokongan turut diberikan kepada kepimpinan kanan kerajaan Sarawak yang memberi banyak sumbangan kepada negeri ini.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan Parti PBB terus menjadi parti tulang belakang kerajaan Sarawak.

"Kita menyokong segala usaha Ketua Menteri dalam membawa kemajuan kepada Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PBB N.4 Pantai Damai hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, inisiatif yang diperkenalkan Abang Johari untuk memastikan kemajuan Sarawak setanding dengan negeri lain.

"Kita amat berharap impian untuk Sarawak menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang 2030 dapat direalisasikan menerusi inisiatif ini," ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas keprihatinan nasib rakyat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tiga bulan lalu.

"Kita dapat saksikan kerajaan Sarawak berusaha menyalurkan bantuan kepada rakyat menerusi pakej rangsangan yang diperkenalkan," jelasnya.

Sumber dari : Jiwa Bakti