JUN 2020

Pasukan Khas Bantu Usahawan Wanita Berniaga Ditubuh


KUCHING: Kerajaan akan membantu usahawan wanita dan belia mendapatkan lesen dan permit perniagaan melalui pasukan petugas pendaftaran lesen dan permit perniagaan, di seluruh negeri ini.

Ahli pasukan petugas itu terdiri daripada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) (Urusetia), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Sarawak Multimedia Authority (SMA), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEX), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ini kerana, ramai usahawan wanita dan belia pada masa ini menjalankan perniagaan tanpa memohon permit dan lesen perniagaan daripada pihak tertentu.

“Lesen dan permit perniagaan penting untuk menerima bantuan yang dikhaskan kepada usahawan di negeri ini sama ada melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Pasukan Khas Usahawan Wanita, di Wisma Wanita, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan permohonan BKSS di Dalat, seramai 903 permohonan dana khas, berjumlah RM1,500 untuk penjaja dan peniaga telah diterima dan hanya 88 permohonan (9.7 peratus) sahaja diluluskan.

“Bilangan permohonan yang diluluskan adalah kecil kerana selebihnya tidak mempunyai lesen dan permit perniagaan. Oleh itu, pasukan petugas akan turun padang melaksanakan program dan memberi taklimat bagi membantu usahawan di seluruh Sarawak mendapatkan lesen dan permit perniagaan tersebut,” katanya sambil menambah program akan bermula di bahagian Kuching pada Julai 2020.

Dalam pada itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 56 Dalat berkata, terdapat beberapa isu dikenalpasti yang menyebabkan masih ramai usahawan di Sarawak masih lagi tidak memiliki lesen dan permit perniagaan. Antaranya ialah:

i. Usahawan tidak mengetahui keperluan dan kepentingan perniagaan berlesen atau permit.
ii. Tidak mengetahui syarat dan prosedur pendaftaran lesen perniagaan khasnya bagi penjaja dan peniaga di kawasan luar bandar.
iii. Selesa berniaga secara kecil-kecilan, secara dalam talian dan separuh masa.
iv. Tiada modal untuk mendaftar lesen perniagaan dan menyewa alamat inkubator (agensi kerajaan dan swasta).
v. Tidak mempunyai premis perniagaan.
iv. Tidak mahu membayar cukai LHDN.

“Sekiranya tidak mempunyai premis perniagaan sendiri, usahawan boleh menggunakan alamat Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU), alamat CENTEX dan alamat Anjung Usahawan,” katanya.

Justeru, katanya, usahawan perlu mengambil peluang untuk membuat pendaftaran lesen dan permit perniagaan melalui pasukan petugas yang telah ditetapkan.

Sumber dari : Jiwa Bakti