JANUARI 2021

PKP: Tentera Bantu Polis - Uggah


KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dikerah bagi membantu polis memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama di beberapa kawasan rumah panjang di Sibu.

Ia susulan berlaku kejadian segelintir penduduk rumah panjang yang bertindak menyelinap keluar melalui kawasan hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan akan melaksanakan tindakan tegas bagi mencegah perkara berulang.

"Kita akan berbincang mengenai perkara ini pada mesyuarat JPBN keesokan hari (Rabu) dengan melibatkan Pesuruhjaya Polis serta ATM.

"Kita akan menggerakkan anggota tentera untuk membantu mengawal keadaan di rumah panjang kerana mereka dibenarkan menjalankan penguatkusaan sama seperti polis di bawah perintah darurat," katanya pada sidang media harian Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung insiden penduduk rumah panjang meloloskan diri melalui kawasan hutan baru-baru ini. 

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, kerajaan negeri sentiasa memastikan kebajikan rakyat dijaga dengan menghantar bantuan bekalan makanan kepada semua kawasan PKP.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar rakyat terutama di kawasan terjejas memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan dari masa ke semasa.

"Jangan berfikir bahawa anda tidak akan pernah dijangkiti. Tidak ada yang dapat dikecualikan bahkan presiden Amerika Syarikat juga dijangkiti wabak ini.

"Tolong bekerjasama kerana dengan kerjasama anda kita dapat mengatasi gelombang keempat ini dan semakin cepat kita dapat kembali ke kehidupan normal," tegas Uggah.

Sumber dari : Jiwa Bakti