JULAI 2020

Sarawak Perlukan Banyak Pakar Perubatan


KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.5 Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, menyokong cadangan untuk menubuhkan Majlis Perubatan Sarawak (SMC), selepas mengambil kira keperluan dan kepentingan untuk rakyat di Sarawak.

Katanya, selain di Kuching, Sarawak memerlukan lebih banyak pakar perubatan di hospital awam seperti di Sibu, Bintulu dan Miri.

"Ini kerana, masih ada rakyat yang terpaksa mendapatkan rawatan pakar di Kuching, dan tempat mereka tidak mempunyai doktor pakar di kawasan seperti Limbang dan Lawas," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, cadangan Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Sri Prof Sim Kui Hian mengenai pembentukan SMC dalam media cetak tempatan dan berita atas talian baru-baru ini, adalah suatu perkara yang baik dan perlu difikirkan secara serius.

Menurutnya, bagi memastikan kepentingan doktor tempatan Sarawak dijaga dengan adil, sejajar dengan keperluan dan kehendak semasa amalan perubatan di Sarawak, ia perlu beroperasi secara bebas dan tidak terikat kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Cadangan ini amat diperlukan kerana, berdasarkan situasi semasa dan keperluan dalam Autonomi Perubatan Sarawak, sebagai jalan penyelesaian terbaik ke atas diskriminasi Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan MMC terhadap kakitangan perubatan Sabah dan Sarawak, " katanya.

Katanya, dalam hal ini, KKM dan JPA tidak melihat keperluan sebenar rakyat Sarawak dalam bidang perubatan. Ia dapat dilihat apabila mereka hanya menawarkan jawatan doktor yang terhad untuk anak tempatan Sarawak.

"Lebih memburukkan keadaan apabila ada doktor dari Semenanjung yang ditawarkan berkhidmat di Sarawak, tetapi mereka enggan berkhidmat di Sarawak," katanya sambil menambah, namun, jawatan ini tidak ditawarkan kepada anak tempatan Sarawak.

Justeru, katanya, Sarawak perlu bertegas dalam memastikan kepentingan rakyat Sarawak sentiasa diutamakan serta mendapat perhatian yang sewajarnya di bawah satu negara Malaysia.

Sumber dari : Jiwa Bakti