KUCHING: Waktu operasi bagi semua sektor ekonomi yang dibenarkan dibuka bermula jam 7 pagi hingga 10 malam di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara tersebut diputuskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.
“Kerajaan telah menyelaraskan tempoh operasi bagi semua sektor ekonomi di negeri ini untuk mengelak kekeliruan orang ramai," katanya semasa sidang media, di sini hari ini.
Tambahnya, bagi sektor ekonomi yang dibuka, pemakluman (notification) adalah bertujuan menentukan supaya sektor-sektor yang telah beroperasi dapat mengamalkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan menyeimbangkan aktiviti ekonomi dan kesihatan.
“Pada masa sama, pasukan penguatkuasaan akan memantau dan membantu bagi melicinkan pelaksaan SOP yang telah ditetapkan," jelasnya Uggah.
Sementara, bagi operasi sektor perhotelan pula, Uggah berkata, SOP sudah diperhalusi dan akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dalam masa terdekat.
“Selain itu, mesyuarat JPBN turut memutuskan supaya pelajar dan rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di rumah selama 14 hari di bawah Akta 342 dan dipasangkan “wristband” bagi tujuan pemantauan," tambah beliau.
Tegasnya, keputusan ini dilaksanakan bagi mengelak gelombang kedua COVID-19 seperti berlaku di Singapura dan Korea Selatan.
Sumber dari : Jiwa Bakti