NOVEMBER 2019

Pelbagai projek rakyat dilulus


DARO: Kampung Tengah Daro bakal mempunyai balai raya baharu apabila Ahli Parlimen P.207 Igan meluluskan projek tersebut, hari ini.

Berita gembira itu diumumkan Ahmad Johnie Zawawi semasa merasmikan Karnival Vaganza Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro di sini.

Projek berharga RM300,000 itu sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk kampung dan sekitarnya untuk menjalan aktiviti kemasyarakatan.

Selain projek itu, Ahmad Johnie turut meluluskan pembinaan dewan terbuka dengan anggaran kos RM200,000 untuk SK Ulu Daro bagi kemudahan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah mengadakan aktiviti.

Turut diluluskan ialah pembinaan sistem perparitan baharu di Kampung Tengah, Daro membabitkan kos RM150,000, pembinaan baharu dataran tempat letak kereta dan gerbang sekolah, RM3,000 diluluskan untuk Perkumpulan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Lemang Pek, Daro.

Majlis anjuran PIBG SK Ulu Daro itu dimeriahkan dengan pertandingan poco-poco, ratu ibu, karaoke lelaki dan wanita, tarik tali dan cabutan bertuah.

Turut hadir Pegawai Daerah Daro, Abang Mohamad Abang Turkey, Guru Besar sekolah, Ahmad Mahmud, Yang diPertua PIBG, Nurul Hidayati Abdullah dan penduduk kampung.