SEPTEMBER 2019

Pencapaian Penerima Geran Usahawan JWKS Membanggakan – Fatimah


KUCHING: Pencapaian usahawan wanita yang menerima bantuan geran usahawan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan amat membanggakan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, geran usahawan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) berjumlah RM5,000 seorang itu bagi membantu usahawan wanita melebarkan sayap perniagaan dan meningkatkan ekonomi mereka.

Katanya, jumlah yang telah diluluskan pada permulaannya adalah RM500,000 dan atas permintaan ramai wanita, semasa sambutan Hari Wanita 2018 Peringkat Negeri Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meningkatkan jumlah itu kepada RM1 juta.

Katanya, dari geran pertama sebanyak RM500,000, penerima geran usahawan JWKS 2018 adalah 100 orang.

“Rekod kejayaan menunjukkan pendapatan usahawan JWKS pada 2018 meningkat sebanyak 191%. Bagi geran usahawan JKWS 2019, seramai 200 usahawan wanita menerimanya membabitkan peruntukan RM1 juta,” katanya semasa majlis Sambutan Hari Wanita 2019 di Pusat Borneo Konvensyen Kuching (BCCK).

Majlis dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sumber dari: Jiwa Bakti