MEI 2021

Tujuh Hospital Swasta Diwarta Pusat Pemberian Vaksin


KUCHING: Sebanyak tujuh hospital swasta diwartakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau, seramai 42 doktor yang bertugas di klinik kesihatan swasta juga akan membantu memberi suntikan vaksin kepada orang awam yang memohon.

Katanya, ia merupakan sebahagian strategi kerajaan negeri untuk melancarkan program vaksinasi di Sarawak. 

"Hospital Timberland merupakan salah satu PPV yang diluluskan dan berdasarkan lawatan saya hari ini, saya amat berpuas hati dengan sistem yang sangat teratur di sini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Hospital Timberland di sini, pagi tadi.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, setakat ini sebanyak 200 dos vaksin bakal diberikan kepada pemohon yang mendapatkan vaksin di hospital berkenaan.

Manakala katanya, menurut rekod sekitar 500,000 rakyat berusia 18 tahun ke atas di bahagian Kuching layak untuk menerima vaksin setakat ini.

"Justeru, ia merupakan tanggungjawab yang mencabar bagi kami untuk memastikan semua mereka yang layak akan mendapatkan suntikan vaksin," tambah beliau lagi.

Sumber dari : Jiwa Bakti