KUCHING: Semua penumpang domestik penerbangan dalam Sarawak dikehendaki mengisi borang e-Health Declaration (borang pengisytiharan kesihatan) berkuatkuasa serta merta, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) berkata, borang tersebut boleh didapati di laman web
http://sdmc.sarawak.gov.my.
Dalam pada itu, katanya, semua rakyat Sarawak yang balik dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan akan menjalani kuarantin selama 14 hari di mana mereka tiba (destinasi terakhir) iaitu sama ada di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
"Sampel mereka akan diambil menggunakan Polymerase Chain Reaction (PCR Swab) pada hari ke tujuh.
"Sekiranya keputusan negatif, mereka akan dibenarkan pulang dan sambung kuarantin di rumah sehingga habis 14 hari," ujarnya.
Justeru, ujarnya, jawatankuasa ini akan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) berdasarkan situasi terkini dan kes yang dilaporkan bagi menyekat penularan COVID-19 di negeri ini.
Sumber dari : Jiwa Bakti