KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menang dalam kes saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit berhubung dakwaan Vernon yang melabelkannya sebagai ‘penipu’ dah ‘pengkhianat.’
Hakim Mahkamah Tinggi, Ravinthran N. Paramaguru mengarahkan Vernon membayar kos ganti rugi berjumlah RM200,000.
"Defendan juga diarahkan untuk membayar RM40,000 untuk kos guaman," ujar beliau semasa memberikan keputusannya mengenai kes ini tadi.
"Mahkamah juga membenarkan injunksi melarang Vernon mengulangi perkataan fitnah dalam mana-mana penerbitan atau penyiaran," tambah beliau.
Mahkamah membuat keputusan demikian selepas menimbang tara jumlah wang kerugian yang dituntut oleh kedua-dua belah pihak dalam kes saman fitnah ini sebelum keputusan diumumkan.
Peguam Uggah, Sim Hui Chuang selaku plaintif memohon jumlah wang ganti rugi berjumlah RM150,000 manakala pihak defendan pula mengenakan tuntutan berjumlah RM25,000.
Sementara itu, peguam Vernon, Desmond Kho menjelaskan kepada pemberita bahawa mahkamah mendapati anak guamnya tidak pernah berusaha untuk menyemak semula kenyataan yang dikeluarkannya.
Ujarnya juga, beliau akan menanti arahan selanjutnya daripada anak guamnya (Vernon) berhubung isu rayuan.
“Segala keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu semula sekiranya anak guam saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu,” ujar Desmond ketika diminta mengulas mengenai kes terbabit.
“Namun keputusan untuk merayu semula terletak di tangan beliau. Beliau kini berada di Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan dan saya akan memaklumkan beliau mengenai hal ini nanti,” tambah beliau lagi.
Uggah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban memfailkan kes saman fitnah pada 8 Ogos 2018 berikutan Vernon melabelkannya sebagai ‘penipu’ dah ‘pengkhianat’ menerusi kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.
Vernon diwakili peguam, Desmond Kho manakala pihak plaintif iaitu Uggah diwakili peguam, Sim Hui Chuang dan Stella Lim.
Sumber dari : Utusan Borneo Online