MEI 2020

Polis Laksanakan 51 Sekatan Jalan Raya


KOTA SAMARAHAN: Polis Sarawak melaksanakan 51 operasi sekatan jalan raya (SJR) serta menubuhkan Pasukan Polis Pemantau bermula 10 Mei hingga 9 Jun, di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, tindakan itu dilaksanakan bagi mengawal pergerakan rentas daerah serta memastikan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Kita telah mendapat arahan bahawa, Kerajaan Sarawak mendapat pengecualian daripada Kerajaan Pusat untuk tidak membenarkan aktiviti rentas daerah dilakukan secara bebas," katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Samarahan, hari ini.

Jelas Aidi, kelulusan rentas daerah akan diberikan bagi mereka yang bekerja, kes-kes kecemasan atau berkepentingan sahaja.

Sementara, pasukan pemantau akan membuat pemeriksaan pada sektor-sektor yang diluluskan operasi mengikut SOP termasuk perkilangan, peruncitan, pengangkutan.

Sehubungan itu, jelas Aidi, lebih 3,000 polis ditugaskan untuk membuat kawalan mengikut giliran jadual kerja masing-masing yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tambahnya, operasi turut melibatkan agensi daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Justeru, Aidi mengingatkan orang ramai mementingkan sifat tanggungjawab untuk tidak keluar pada waktu malam sekiranya tiada keperluan atau alasan untuk memastikan tiada penularan covid-19 berlaku.

Gambar hiasan

Sumber dari : Jiwa Bakti