FEBRUARI 2020

Peruntukan Tambahan RM30 Juta Untuk Endowment Fund Sarawak Dilulus


KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta sebagai tambahan kepada baki Endowment Fund Sarawak (EFS) 2019 berjumlah RM13 juta sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan EFS tahun ini berjumlah RM43 juta.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato' Sri Fatimah Abdullah berkata endowment berjumlah RM1,000 seorang akan diberikan kepada anak Sarawak yang lahir bermula 1 Januari 2019

"Inisiatif ini akan diteruskan hingga ke hujung tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Endowment Fund Sarawak (EFS) Bil 1/20 di Bilik Mesyuarat, Tingkat Bawah, Bangunan Baitulmakmur, hari ini.

Jelas beliau, endowment ini untuk anak-anak menyambung pelajaran atau membina kerjaya apabila mereka sudah mencapai umur 18 tahun.

Dalam pada itu, jumlah kanak-kanak yang sudah mendaftar untuk permohonan ini pada tahun 2019 adalah 10,217 orang di Kuching, Serian (552), Kota Samarahan (446), Sri Aman (865), Betong (549), Sarikei (1,304), Kapit (478), Sibu (4,803), Bintulu (1,800), Miri (3,894), Limbang (891) dan Mukah ( 912).

Jumlah keseluruhan kanak-kanak yang berdaftar pada tahun tersebut sebanyak 26,731 orang.

Dalam pada itu, sehingga 31 Januari 2020 seramai 1,472 kanak-kanak mendaftar EPS tersebut.

Sumber dari : Jiwa Bakti