FEBRUARI 2020

Projek Pembinaan Jalan Passin Matu Akan Memberi Manfaat Kepada Penduduk Disekitarnya


MATU: Kelulusan Projek Jalan Passin Matu yang bernilai RM65 juta oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg amatlah dihargai dan disambut baik penduduk di kawasan Matu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee bin Haji Ahmad berkata kelulusan Projek Jalan Passin sepanjang 17.6 km ini sangat memberi erti yang besar kepada penduduk di kawasan rumah panjang ini.

“Kerta kerja cadangan pembinaan Jalan Passin Matu ini telah diserahkan kepada Ketua Menteri baru-baru ini dan mendapat kelulusan serta merta.

“Siapnya projek ini akan memberi banyak manfaat kepada penduduk di sekitarnya khususnya dalam meningkatkan ekonomi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Pemimpin Bersama Komuniti serta Majlis Serah Tapak Projek Jalan Passin Matu yang diadakan di Rumah Janting Ak. Panting, Sungai Passin, Matu pada Rabu.

Turut diluluskan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan Passin dan Sungai Nyamuk, pembinaan jalan di hadapan rumah panjang berjumlah RM580,000, baik pulih gereja sebanyak RM80,000.

Pada majlis itu, juga diadakan Perasmian Projek Bina Baru Pontoon di Rh. Hendry, Sg. Passin dan di Rh. Atoh, Sg. Passin, Bina Baru Jeri Rh Imba Sg. Passin, Projek Bina Baru Jeti Rh. Kayak, Sg. Passin, simbolik penyerahan tapak, Projek Pembinaan Jalan Sg. Passin Matu, Penyerahan alat pemadam api kepada 7 buah rumah panjang, simbolik penyerahan Bendera GPS kepada semua Tui Rumah dan penyampaian sumbangan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM5,000 kepada 7 buah Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.

Sehingga kini, sebanyak RM3.8 juta projek telah diluluskan di kawasan Passin sejak 2018 hingga hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie bin Haji Zawawi meminta setiap pemimpin JKKK mempunyai profil kampung dan rumah panjang masing-masing beserta dengan perancangan pembangunan menyeluruh.

“Katanya, ini untuk memudahkan wakil rakyat menyalurkan bantuan peruntukkan berdasarkan kepada permohonan dan pembangunan yang sedia ada.

“Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak ketika ini sedang mengambil inisiatif membina grid Bekalan Air untuk seluruh Sarawak sekaligus menyelesaikan masalah air di kawasan Matu dan Daro.

“Ini termasuk juga Inisiatif Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) yang turut disediakan Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Dalam majlis itu, beliau mengumumkan peruntukkan sebanyak RM5,000 kepada panel Klinik Sungai Passin, RM5,000 lagi kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Passin dan RM3,000 kepada setiap JKKK di Sungai Passin.

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak