JULAI 2020

Perutusan YAB Ketua Menteri Sarawak Sempena Hari Raya Aidiladha Pada 31 Julai 2020 / 10 Zulhijjah 1441h


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahilhamd.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya yang tidak terhingga pada 10 Zulhijjah 1441 Hijrah, seluruh umat Islam dapat menyambut Hari Raya Aidiladha. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, penghulu kepada segala nabi dan rasul.

2. Ketibaan Aidiladha setiap tahun sentiasa mengingatkan kita tentang sejarah Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS kerana ketaatannya kepada perintah Allah SWT. Sejarah ini berlaku sebagai pedoman dan petunjuk bagi umat Islam untuk mengorbankan harta dan jiwa demi keimanan kepada Allah SWT.

3. Sempena Aidiladha ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan menelusuri sejarah para anbiya’ yang sentiasa taat kepada perintah Allah SWT dan sanggup berkorban apa saja demi keredhaan kepada Allah SWT.

4. Di sebalik sirah Nabi Ibrahim, jelaslah bahawa sesungguhnya pengorbanan yang ikhlas dan mendambakan keredhaan Allah SWT akan disusuli dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 207 yang bermaksud :

“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah SWT, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.”

5. Ketika ini negeri dan negara kita sedang berhadapan dengan penularan jangkitan COVID-19. Daerah Kuching dikategorikan semula sebagai Zon Merah kerana jumlah jangkitan yang telah meningkatan kepada dua angka. Sekatan dan protokol yang dikenakan untuk mengekang penularan virus Corona membawa banyak kesulitan kepada kehidupan sehari-harian kita. Janganlah diambil mudah SOP-SOP yang dikuatkuasakan kerana kita perlu mengorbankan segala keselesaan kehidupan yang biasa kita nikmati demi keselamatan kita semua daripada COVID-19.

6. Bagi saudara dan saudari yang berada di Zon Hijau saya amat berharap dan berdoa agar anda sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa dan kepada protokol yang dikenakan, khususnya penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka supaya Zon Hijau terus hijau.

7. Marilah kita bersama-sama meraikan hari kebesaran ini dengan penuh rasa kesyukuran dan keimanan, disamping mengukuhkan silaturrahim agar dapat melahirkan satu ummah yang bukan sahaja memperoleh kejayaan di dunia, malah dinaungi payung rahmat Allah SWT di akhirat nanti.

8. Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

PEJABAT KETUA MENTERI
Tarikh: 30 Julai 2020

Sumber dari : Sarawakku