MEI 2021

Press Statement 25 May 2021


PRESS STATEMENT 25 MAY 2021 :

OFFICE OF THE CHIEF MINISTER OF SARAWAK

KENYATAAN MEDIA MENGENAI TEMPOH DUN SARAWAK DAN 

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK KE-12

(Untuk siaran segera)

Pemimpin-pemimpin Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah mengadap secara maya (virtual) Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pada hari ini mengenai tempoh DUN Sarawak dan Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-12.

Pada sesi tersebut Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari telah menyembah maklum kepada Ke Bawah Duli Tuanku mengenai tempoh tamat DUN Sarawak sehingga 6 Jun 2021.

Mengikut Perlembagaan Negeri Sarawak DUN haruslah dibubar dan Pilihanraya perlu diadakan. 

Ekoran Pengisytiharan Darurat pada 11 Januari 2021 sehingga 1 Ogos 2021 kuasa untuk membubarkan DUN Sarawak terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 13 dan Perkara 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Sejajar dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong, YAB Ketua Menteri telah menyerahkan keputusan untuk membubarkan DUN Sarawak pada tarikh yang sesuai di atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bersama TYT Negeri Sarawak setelah menerima nasihat daripada pihak Peguam Negara, SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. 

Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah menasihati memandang kepada keadaan COVID-19 yang agak membimbangkan agar Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa dengan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. 

Hadir bersama YAB Ketua Menteri ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Timbalan Presiden PBB), Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing (Presiden PRS), Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan (Timbalan Presiden PBB), Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian (Pengerusi SUPP) dan Dato Sri Tiong King Sing, Duta Khas Perdana Menteri Malaysia ke China (Presiden PDP).

Tarikh: 25 Mei 2021

Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya 93502, Kuching, Sarawak.

Tel: (082) 440801   Faks: (082) 444566  Email: cmo@sarawak.gov.my   

Laman Web:www.cm.sarawak.gov.my

Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya 93502, Kuching, Sarawak.

Tel: (082) 440801   Faks: (082) 444566  Email: cmo@sarawak.gov.my   Laman Web:www.cm.sarawak.gov.my

Sumber dari : Sarawakku