MEI 2021

Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Trafik Seksyen Pujut Lancar


MIRI: Semenjak dibuka kepada orang awam pada Februari lalu, keadaan trafik di Seksyen Pujut, Projek Lebuh raya Pan Borneo Sarawak kini menjadi lebih lancar dan memberi keselesaan pemanduan kepada pengguna.

Pengurus Pejabat Zon Utara, Unit Lebuh raya Pan Borneo (PBHU), Jabatan Kerja Raya (JKRS), Ir Siaw Ming Chian, berkata bermula pembinaan pada 2016, seksyen yang dibina sepanjang 16 kilometer (km) ini merupakan salah satu daripada tiga seksyen di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11).

Dua lagi seksyen di bawah pakej ini ialah Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir, yang masih lagi dalam proses pembinaan. 

Di samping itu, skop pembinaan di bawah Seksyen Pujut juga merangkumi pembinaan dua jejambat (flyover) iaitu jejambat Lapangan Terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua jambatan iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri.

"Kadar trafik yang tinggi memandangkan lokasi jajaran ini terletak berhampiran bandar merupakan antara cabaran utama di dalam memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar tanpa mengabaikan keselesaan serta keselamatan pengguna dalam masa yang sama,” katanya.

Manakala bagi kerja pembinaan berhampiran dengan Lapangan Terbang Miri pula, kontraktor mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan memastikan kerja-kerja yang melibatkan pemasangan rasuk (beam) dan cerucuk (piling) hanya dibenar dilakukan pada sebelah malam.

Pandemik Covid-19 banyak mempengaruhi kemajuan kerja-kerja pembinaan, terutamanya dari segi kekurangan bilangan tenaga kerja asing.

Sementara itu, dalam usaha kontraktor giat melakukan kerja-kerja pembinaan, JKR Sarawak mengingatkan orang awam sentiasa memandu berhati-hati dan mematuhi had laju yang telah ditetapkan.

Sumber dari : Jiwa Bakti