MEI 2021

Sistem Pendaftaran Hybrid Percepat Program Vaksinasi


KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan permohonan Kerajaan Sarawak melaksanakan pendaftaran Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 melalui sistem pendaftaran hybrid.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, persetujuan yang diperoleh daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin hari ini bakal mempercepatkan lagi proses vaksinasi di Sarawak.

"Pelbagai isu timbul berhubung pendaftaran  untuk menerima vaksin di negeri ini dan menerusi perbincangan bersama-sama petang tadi, kita amat menghargai keputusan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ke Sarawak di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, menerusi pendaftaran secara sistem hybrid dapat memudahkan urusan pendaftaran penduduk yang tinggal di pedalaman dan tidak mempunyai peranti digital.

Katanya, sistem pendaftaran hybrid dapat dilaksanakan dengan sebahagian melalui MySejahtera dan sebahagian secara manual di pejabat daerah di setiap kawasan.

Selain itu, pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri di kawasan perindustrian kilang dan perladangan di Sarawak turut mendapat persetujuan daripada Khairy yang akan diselaraskan oleh sebuah jawatankuasa khas.

Manakala katanya, Khairy turut bersetuju untuk mewujudkan pasukan bergerak yang akan turun padang ke kawasan pedalaman supaya penduduk di kawasan tersebut tidak ketinggalan. menerima vaksin Covid-19.

GAMBAR: MOSTI

Sumber dari : Jiwa Bakti