SEPTEMBER 2019

RM4 Juta Bagi Rancakkan Sektor Pertanian Di Kapit Tahun Depan


KAPIT: Dalam usaha merancakkan sektor pertanian di Kapit tahun depan, dana sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan bagi melaksanakan projek sistem fertigasi pertanian pintar dan penanaman durian Musang King.

Peruntukan tersebut telah diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa Majlis Perasmian Agrofest Kapit 2019.

Menurutnya, daripada dana RM4 juta itu, RM2 juta akan digunakan bagi melaksanakan sistem fertigasi pertanian pintar dan selebihnya untuk projek durian Musing King.

"Kita yakin usaha ini adalah untuk memodenkan sektor pertanian dan membuktikan komitmen kerajaan negeri mentransformasi industri pertanian di kawasan luar bandar seperti di Kapit," katanya.

Douglas menambah, inovasi teknologi dalam sektor pertanian kini penting bagi meningkatkan hasil pengeluaran secara lebih efektif.

Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat keperluan pembangunan untuk rakyat di kawasan luar bandar.

Katanya, kerajaan Sarawak telah memperuntukan dana sebanyak RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bagi tujuan pembangunan pelbagai infrastruktur di kawasan berkenaan. -Edisi UKAS

Sumber dari: Unit Komunikasi Awam Sarawak