APRIL 2019

Sarawak Menyambut Baik Pencalonan Warisan Songket Keringkam Sarawak Ke UNESCO


KUCHING, 26 April 2019 : Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata bahawa rakyat Sarawak menyambut baik pencalonan Songket Keringkam Sarawak untuk mendapat pengiktirafan UNESCO di bawah Representative List Convention 2003.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh pihak Jabatan Warisan Negara di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching Isnin lepas (24 April 2019).

Pencalonan tersebut adalah inisiatif daripada Jabatan Warisan Negara dan dibantu oleh Persatuan Penggiat Seni & Kebudayaan Malaysia, Kuching.

Temubual tersebut adalah bagi mendapatkan input mengenai Songket Keringkam Sarawak untuk dibawa ke pencalonan tersebut.

YAB Ketua Menteri menjelaskan bahawa kerajaan negeri melihat Songket Keringkam adalah sebahagian daripada warisan negeri Sarawak yang mempunyai sejarah turun temurun daripada masyarakat setempat. Beliau menegaskan bahawa songket dan keringkam berpotensi untuk mendapat pengiktirafan dunia tersebut kerana nilai-nilai seni budaya yang dipaparkan dalam songket keringkam tersebut mempunyai impak-impak yang sangat tinggi kepada masyarakat setempat. Bagi tujuan tersebut, kerajaan negeri komited untuk membantu masyarakat dan industri Songket Keringkam Sarawak untuk terus maju dan diperkenalkan serta dipromosikan ke peringkat tempatan serta ke luar negara.

Beliau menjelaskan melalui jawatankuasa yang telah ditubuhkan kerajaan negeri bersedia untuk menyuntik dana bagi memajukan industri songket disamping untuk memperkenalkan motif-motif dan juga reka bentuk songket yang mempunyai ciri-ciri pribumi. Songket Keringkam Sarawak juga mempunyai ciri-ciri yang berlainan corak daripada negeri-negeri lain di Malaysia.

Bagi tujuan tersebut industri Songket Keringkam akan dibangunkan dengan memberi latihan dan kemahiran songket kepada penggiat-penggiat Songket Keringkam tempatan dan kepada anak-anak Sarawak yang berminat untuk berkecimpung dan memajukan diri dalam industri Songket Keringkam.

Kerjasama Centre of Technical Excellence (CENTEXS) dan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan pihak UNIMAS, Institut Perguruan kampus Tun Abd Razak Samarahan, akan bertangungjawab dalam menyediakan latihan kepada komuniti dan pengusaha songket Sarawak dalam memartabatkan Songket Keringkam Sarawak. Ianya diperluaskan melalui program latihan teknikal tenunan songket dan sulaman keringkam di CENTEXS dan pusat tenunan yang lainnya.

Manakala Persatuan Penggiat Seni & Kebudayaan Malaysia, Kuching akan terus mempromosi maklumat dan keistimewaan songket keringkam ke peringkat antarabangsa.

End.

Sumber dari: Sarawakku