OGOS 2020

Sambutan Hari Bandaraya Kuching Ke-32


KUCHING 1.8.20 - Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abg Haji Openg telah hadir merasmikan Sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-32 bertempat di MBKS Square.

Ketibaan Ketua Menteri di sambut Datuk Bandar MBKS, YBhg Dato Wee Hong Seng dan Datuk Bandar DBKU, YBhg Datu Junaidi Haji Reduan serta ahli Majlis MBKS dan Ahli Dewan DBKU.

Dalam ucapan perasmian, YAB Abg Jo terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada warga Kuching sempena 32 tahun Kuching sudah mencapai status Bandaraya.

YAB Abg Jo juga berasa syukur dapat bersama-sama meraikan sambutan yang bersejarah pada hari ini dalam keadaan di mana semua yang hadir akur kepada protokol dan SOP pada kala kita semua menghadapi Covid-19.

YAB turut berbangga dengan kerjasama yang erat antara MBKS dan DBKU untuk membangun bandaraya Kuching sebagai sebuah bandaraya modern, bersifat lestari dan pintar serta mencapai pelbagai jenis kemajuan serta pembangunan yang setanding dengan bandaraya- bandaraya lain di dunia.

YAB juga menekankan bahawa hasrat kerajaan Sarawak di bawah GPS bagi membina Bandaraya Kuching kearah Bandaraya Pintar ( Smart City ) dengan komponen seperti pembekalan air yang mencukupi, pembekalan elektrik, sanitasi yang terancang, keberkesanan mobiliti di bandar, pengangkutan awam, rumah mampu milik khusus untuk yang miskin, e-kerajaan, penglibatan rakyat, persekitaran lestari, keselamatan rakyat untuk Wanita, kanak-kanak dan warga emas, dan juga kesihatan rakyat.

Semua komponen Bandaraya Pintar ini mendapat perhatian kerajaan GPS, Ada yang sedang dirancang dan ada yang sedang dilaksanakan.

YAB juga bersyukur bahawa rakyat Sarawak telah dapat menerima perubahan kearah teknologi ekonomi dan yang terawal di Malaysia terutama sekali e-walet platform, ekonomi hydrogen dan lain-lain.

Diakhir ucapan, YAB juga memaklumkan bahawa di Samajaya akan menerima pelaburan sebanyak USD5 bil ( RM20 bilion ) yang akan membuka peluang pekerjaan dalam masa lima tahun.

Selepas acara pelancaran rasmi sambutan Ulang Tahun ke-32, YAB juga merasmikan AR Pictorial Gallery dan Container Bas Sekolah.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, YB Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, YB Datuk Dr Abdul Rahman Hj Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Hj Mohd Abu Bakar bin Marzuki dan jemputan kenamaan .

Sumber dari : Sarawakku