JANUARI 2021

Tambah Nilai Ke Arah Industri Perkayuan Lestari: Abg Jo


KUCHING, Jumaat: Usaha untuk menambah nilai kepada setiap pokok yang ditebang di hutan Sarawak hendaklah menjadi antara agenda utama industri perusahaan kayu di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Pendekatan ini amat sesuai dengan kehendak masyarakat antarabangsa ke arah pembangunan hutan yang lestari, ujar beliau dalam ucapan balas sempena majlis memetrai MOU antara UNIMAS dan Institut Tekonolgi Bandung (ITB) di pejabat beliau di sini pagi tadi.

Majlis tersebut menyaksikan Interaksi secara fizikal dan maya dengan pihak UNIMAS dan ITB. 

MOU berkenaan merupakan langkah ke arah kaedah lebih sistematik antara kedua-dua universiti dalam mempertingkatkan kolaborasi dalam bidang akademik dan reka bentuk perabot melibatkan anak-anak muda Sarawak pada masa akan datang.

Pada ketika ini Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan ITB sudah mempunyai gagasan kerjasama di mana puluhan anak muda Sarawak sudah dan sedang mendapat latihan mereka bentuk perabot di Kampus ITB. 

Datuk Patinggi Abang Haji Zohari berkata usaha ke arah menambah nilai kepada hasil kayu kayan negeri ini dalam bidang perusahaan perabot amat memerlukan latihan yang sistematik seperti yang disediakan oleh ITB melalui Fakultas Seni Rupa dan Desainnya. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada ITB yang sedia menjalinkan kerjasama dengan Sarawak melalui PUSAKA dan UNIMAS.

Menghurai lanjut mengenai usaha ke arah kolaborasi antara Indonesia dan Sarawak beliau menyatakan ia bukanlah sesuatu yang asing kerana sekarang Sarawak sudahpun mempunyai kerangka kerjasama untuk membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat.

Beliau menyokong cadangan supaya kerjasama antara ITB dan UNIMAS dikembangkan ke bidang-bidang lain selain daripada penyediaan latihan reka bentuk oleh ITB.

Turut berucap Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Rektor ITB, Ibu Profesor Reini D. Wirahadikusumah dan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sarawak, Bapak Yonny Tri Prayitno.

Turut hadir Pengurus Besar PUSAKA Haji Hashim Bojet.

Sumber dari : Sarawakku