SEPTEMBER 2020

Tasik Bakun Bakal Jadi Permata Pelancongan


BAKUN: Dengan pembangunan beberapa kemudahan infrastruktur penting seperti sambungan jalan raya, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berharap Tasik Bakun akan menjadi salah satu permata pelancongan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur itu berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Tasik Bakun hari ini.

Semasa lawatan itu, Masing diberi taklimat mengenai kemajuan projek jalan alternatif ke Tasik Bakun sejauh 12 kilometer (km) yang bernilai RM47 juta dan cadangan pembinaan jeti baharu berharga RM17 juta di tasik berkenaan.

Kemajuan kedua-duanya projek berkenaan telah ditangguhkan kerana Covid-19.

"Bedekatan tasik ini terletaknya sebuah air terjun semula jadi yang dapat diakses melalui laluan mendaki. Bagi pencinta alam yang suka mengembara ini pasti satu kawasan yang boleh dipertimbangkan.

"Ada banyak potensi di wilayah Bakun. Selain menjadi tempat pilihan sukan air, kami juga berharap dapat mempamerkan ia sebagai permata pelancongan di Sarawak," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Kementerian Belia dan Sukan terlibat sama agar cadangan penubuhan Kelab Pelayaran Bakun dan kemudahan untuk melatih atlit SUKMA Sarawak dalam acara pelayaran terlaksana.

"Kawasan air yang terbentang luas ini, diharap akan menarik minat pelayar untuk menjadikan Tasik Bakun sebagai pusat aktiviti mereka, selain menarik pelancong dari dalam dan luar negara," katanya.

Sementara itu, menurut Masing, cadangan fasa dua akan merangkumi kemudahan awam dan kedai runcit bagi memenuhi keperluan nelayan pedalam di Bakun.

Sumber dari : Jiwa Bakti