NOVEMBER 2019

Sibu Jaya Bakal Muncul Hab Pengeluar Makanan Wilayah Tengah


SIBU: Sibu Jaya bakal menjadi hab pengeluar makanan di wilayah tengah negeri ini menerusi pelaksanaan pelan pembangunan masa depan yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia memberi impak untuk melonjakkan pendapatan penduduk menerusi projek pertanian moden.

“Usaha menaik taraf prasarana di kawasan wilayah tengah Sarawak terutamanya jalan raya giat dilaksanakan untuk memudahkan pengeluaran hasil pertanian dari Sarikei, Bintangor dan Julau.

“Dengan kemudahan jalan raya yang baik dan kedudukan kawasan yang tidak jauh daripada Lapangan Terbang Sibu sesuai untuk dijadikan hab pengeluaran hasil pertanian sebelum dieksport ke luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan Majlis Pecah Tanah Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu Jaya, petang tadi.

Ketua Menteri berkata, kerajaan Sarawak komited dalam meningkatkan jalinan kerjasama strategik dengan Singapura dalam pelbagai aspek termasuk hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

“Langkah kita membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Singapura (STATOS), adalah satu permulaan yang baik bagi mencapai tujuan itu.

“Sarawak mempunyai banyak produk yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negara Kota Singa itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pusat sukan komuniti tersebut, Ketua Menteri berkata, ia bakal memberikan manfaat dari segi kemudahan untuk beriadah kepada penduduk di Sibu Jaya selepas siap kelak.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Azman yang bermurah hati menyumbangkan pusat sukan ini kepada penduduk Sibu Jaya,” ujarnya sambil memberitahu pusat sukan tersebut akan dilengkapi dengan perkakas termoden dengan kemudahan pelbagai sukan," ujarnya.

Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim dijangka siap pada 2021 dan merupakan satu rekabentuk moden, pelbagai fungsi kegunaan dan lengkap sepenuhnya.

Ia menempatkan padang bola sepak, dan dilengkapi dengan trek lapan lorong beserta tempat duduk berbumbung yang selesa untuk para penonton dan treknya akan diperbuat menggunakan sistem 'Tracking Rubberized HERCULAN Certified IAAF' di tapaknya.

Ia telah disahkan dan sesuai untuk penganjuran acara serantau hingga ke pertandingan tahap ASEAN dan antarabangsa.

Pusat sukan ini juga mempunyai stadium tertutup pelbagai guna yang mampu digunakan untuk pelbagai aktiviti sukan seperti bola keranjang, futsal, bola tampar, badminton dan gimnastik.

Sumber dari : Jiwa Bakti