JANUARI 2020

Saribas DUN Pertama Dapat 100 Peratus Bekalan Air Bersih


PUSA: Saribas muncul sebagai satu-satunya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di luar bandar yang mempunyai liputan bekalan air bersih 100 peratus.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, dengan siapnya Loji Rawatan Air Manggut dengan kapasiti tiga juta liter sehari mampu membekalkan air bersih kepada 1,106 rumah di Kampung Supa, Kampung Medang, Kampung Tuie dan Kampung Serabang.

Menurutnya, ia merupakan keperluan mendesak penduduk setempat yang selama ini bergantung kepada tadahan air hujan dan air telaga.

"Apabila projek penyambungan dari loji (Manggut) siap sepenuhnya, DUN Saribas menjadi satu-satunya kawasan di luar bandar mendapat bekalan air bersih 100 peratus," katanya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian ketika menghadiri sesi taklimat projek bekalan air bersih Dewan Serbaguna Abg Matasim Kampung Tuie hari ini.

Beliau yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) menjelaskan, kerajaan Sarawak memang berhasrat untuk menyalurkan bekalan air bersih secara berterusan.

"Kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mensasarkan liputan air bersih 100 peratus di seluruh negeri menjelang 2025," ujarnya.

Menurutnya lagi, setakat ini liputan air bersih berada pada tahap 81.4 peratus.

Sehubungan itu, Dr Abdul Rahman berkata, untuk tujuan tersebut, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM2.8 bilion membekalkan air bersih ke seluruh negeri.

Rata-rata penduduk di kawasan ini menghargai dan bersyukur dengan projek bekalan air bersih terus ke rumah mereka.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi Sitam dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Chang Kiet Shien.

Sumber dari : Jiwa Bakti