MEI 2021

Segera Daftar Program Imunisasi Covid-19 - Uggah


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sekali lagi menyeru orang ramai agar segera mendaftar Program Imunisasi Covid-19.

Menurut beliau, kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan agar kadar imuniti kelompok yang mencukupi boleh dicapai bagi membendung penularan Covid-19.

"Kita menyeru agar mereka yang belum berdaftar supaya bertindak segera dengan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, laman web Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) atau menghubungi pejabat daerah berdekatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Covid-19 Sarawak di sini, petang tadi.

Menurut Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), keselamatan dan kesihatan diri amat penting meskipun sambutan perayaan tahun ini kurang meriah.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai terus bersabar dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan bagi mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus merebak.

Sumber dari : Jiwa Bakti