KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Bandar Simanggang, Sri Aman pada 31 Ogos ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tema sambutan tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ yang mengajak seluruh rakyat Malaysia menanam semangat kenegaraan yang tinggi dalam diri mereka.
“Pada 31 Ogos 1957, ia merupakan tarikh pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra, menandakan Tanah Melayu bebas dari penjajahan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2020, di sini semalam.
Katanya, acara kemuncak sambutan kali ini menyaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyertai perarakan bersama 250 peserta, mengelilingi bandar Simanggang dengan jarak 1.5 kilometer pada hari tersebut.
Selain itu, katanya, dalam usaha menanam semangat cinta negara, alunan lagu ‘medley’ patriotik sezaman akan dipersembahkan oleh penyanyi tempatan Sarawak semasa sambutan tersebut.
“Antara lagu yang dipersembahkan ialah, Inilah Barisan Kita, Bahtera Merdeka, Warisan, Tanggal 31 Ogos, Setia dan Negaraku (versi Faizal Tahir),” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.15 Asajaya berkata, pada masa sama, ‘Malam Mesra Sempena Ambang Sambutan Hari Kebangsaan 2020’ turut diadakan di Hotel Sri Simanggang, pada malam 30 Ogos.
“Pada malam tersebut, Ketua Menteri akan beramah mesra bersama ketua masyarakat sekitar Sri Aman,” katanya lagi.
Sementara itu, sambutan yang diadakan ini akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semua peserta yang menghadiri program tersebut akan membuat saringan suhu badan, mengamalkan penjarakan fizikal dan sebagainya,” katanya sambil menambah, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memutuskan rantaian penularan virus ini.
Sehubungan itu, katanya, bagi menghargai usaha serta pengorbanan petugas barisan hadapan dan kerajaan dalam memerangi Covid-19, satu video khas berjudul ‘WIRA’ akan diterbitkan.
“WIRA mengisahkan kehidupan, pengorbanan dan kekuatan hati yang kental petugas barisan hadapan dalam menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti