OGOS 2020

Terima Kasih MAB - Fadillah


KUALA LUMPUR: Seramai 11,000 pelajar Sarawak dari Semenanjung, Sabah, Labuan dan luar negara berjaya dibawa pulang sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

Pelajar berkenaan dibawa pulang menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, Sarawak Volunteers, Rumah Sarawak dan Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Bagi menghargai kerjasama dan sokongan MAB, malam ini diadakan Majlis Makan Malam Penghargaan Bersama Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof di Seri Pacific Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, Fadillah yang juga Penaung Sarawak Volunteers berkata, tanpa kerjasama MAB usaha membawa pulang pelajar Sarawak tidak akan dapat dilaksanakan.

Justeru, beliau berterima kasih atas sumbangan pegawai dan kakitangan MAB dalam membawa pulang pelajar Sarawak ketika negara dan seluruh dunia berdepan penularan wabak Covid-19.

“Namun kita belum berjaya sepenuhnya dalam menangani Covid-19. Banyak lagi perlu dilaksanakan dalam usaha kita memulihkan kehidupan rakyat termasuk dari sudut sosioekonomi.

“MAB sudah pasti terjejas pendapatan apa lagi kita belum membuka sempadan negara. Kita semua harus bekerjasama erat dalam menempuh waktu sukar seperti sekarang,” katanya.

Fadillah berkata, walaupun kerajaan telah memperuntukkan RM250 bilion untuk membantu rakyat dan industri namun ia belum cukup.

Beliau berkata, semua pihak perlu terus bekerjasama erat untuk menghadapi cabaran yang lebih mencabar pada masa akan datang.

Sumber dari : Jiwa Bakti