OKTOBER 2020

TVS Hadiah Untuk Rakyat Sarawak


KUCHING: Kemunculan TV Sarawak (TVS) akan memartabatkan negeri Sarawak sekali gus memperkasakan di persada nasional dan antarabangsa melalui platform penyiaran.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin TVS akan mempermudahkan usaha ini.

"TVS mula menyiarkan program pertama pada 10 Oktober sempena sambutan Ulang Tahun Ke-84, Yang di-Pertua Negeri , Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini malam ini. 

Pelancaran TVS disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Hadir sama, isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Datuk Norhayati Mohd Ismail, antara yang hadir.

Menurut Abang Johari, TVS ini merupakan hadiah buat rakyat Sarawak. 

"Ia menjadi landasan untuk mempromosi dan memberi peluang kepada penggiat industri tempatan mengetengahkan bakat mereka," katanya.

Abang Johari berkata, penubuhan TVS ini merupakan janji beliau semasa mengambil alih tampuk kepimpinan, menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem. 

"Sehubungan itu, saya gembira kerana dapat menunaikan satu lagi janji  kepada rakyat Sarawak, dalam masa tiga tahun atau lebih semasa menjadi ketua menteri," katanya. 

Justeru, TVS pasti akan menjadi platform bagi pencipta kandungan, pengeluar dan pelakon tempatan untuk mempamerkan karya mereka. 

Katanya, ia bakal menjadi mercu tanda usaha Sarawak untuk memanfaatkan potensi industri kreatif dan akhirnya mengembangkan ekonomi yang berpusat pada industri kreatif.

Sumber dari : Jiwa Bakti