KUCHING: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Persekutuan Sarawak yang baharu, Datuk Amir Omar di pejabatnya di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Sempadan Sarawak menerima kunjungan hormat tersebut bagi membincangkan mengenai pengukuhan keselamatan di sempadan Malaysia-Indonesia.
Selain itu, perkara lain yang dibincangkan termasuk perancangan penubuhan Pusat Pemulihan PERKESO di Sarawak, masalah lebuh raya sempadan dan penubuhan Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan Pusat Kawalan Sempadan di Long Singut Baleh.
Terdahulu, Datuk Amir pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Sumber Manusia dan mengambil alih jawatan Setiausaha Persekutuan pada April lepas. –EDISI UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak