PULAU BRUIT: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri ( Hal Ehwal Korporat) , Abdullah Saidol meninjau beberapa projek di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.42 yang dipohon oleh beliau di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP)
Projek itu termasuk padang simen di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bruit yang siap dibina dengan peruntukan sebanyak RM100,000 dan pembinaan pagar Masjid Al- Qudwah Kampung Bruit yang bernilai RM80,000.
Pembinaan prasarana yang menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) 2018 memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Sementara di Sebako, Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop turut meninjau tapak cadangan bagi projek membaikpulih jalan penghubung dari Masjid Sebako ke ladang sawit Rimbunan Hijau.
Beliau turut membawa jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah melawat tapak projek bagi pembinaan jambatan baharu di Kampung Betanak.
“Saya juga mengemukakan permohonan kepada JKR agar membuat kajian awal daripada segi teknikal dan kos projek bagi cadangan pembinaan jalan baharu antara Kampung Bruit ke pengkalan feri Daro- Sungai Nai,”katanya.
Lawatan turut disertai tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah dan pegawai Pusat Khidmat N42 Semop.
Semalam, beliau telah menghadiri mesyuarat bersama JKR Bahagian Sarikei bagi membincangkan cadangan pembinaan jalan yang akan menghubungkan kawasan Mupong ke Jalan Sibu – Tanjung Manis.
Projek terkini itu dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat sembilan rumah panjang di kawasan tersebut.