SEPTEMBER 2018

Ahli Parlimen GPS mahu projek infra rakyat diteruskan – Fadillah


KUCHING: Kesemua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyuarakan hasrat supaya projek-projek infra rakyat yang telah dirancang sebelum ini harus diteruskan demi manfaat rakyat terutamanya di kawasan luar bandar.

Projek seperti jalan, jambatan, hospital, klinik kesihatan, serta kemudahan air dan elektrik, kesemuanya amat diperlukan rakyat.

Ketua Whip GPS merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek kemudahan asas yang telah diluluskan terdahulu harus diteruskan pembinaannya kerana sangat diperlukan oleh rakyat.

Mereka menyatakan hasrat sedemikian dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya di Kuala Lumpur, semalam.

Seramai 15 daripada 19 Ahli Parlimen GPS menyertai pertemuan yang diketuai Fadillah selaku Ketua Whip GPS. Kunjungan itu bertujuan memperkenal barisan Ahli Parlimen serta membincangkan beberapa perkara berkaitan Sarawak seperti royalti minyak, pengembalian kuasa seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63) serta isu naik taraf sekolah daif.

“Kami juga menyatakan hasrat kerajaan Sarawak untuk membantu Kerajaan Persekutuan berkenaan naik taraf sekolah daif dengan menawarkan dana dari kerajaan negeri sebanyak RM1 bilion secara pinjaman atau write off hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks DUN baharu, hari ini.
Kunjungan itu untuk memaklumkan kepada Ketua Menteri berhubung Program Lan Berambeh Anak Sarawak pada 20 Oktober depan.

Yang turut hadir pengerusi penganjur program itu, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan ahli jawatankuasanya.

Kata Fadillah, Perdana Menteri bersetuju bahawa isu berkenaan royalti minyak dan pengembalian hak Sarawak harus diselesaikan seperti mana yang telah dijanjikan. Berkenaan tawaran dana bagi naik taraf sekolah, ia akan dibincangkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan.