KUCHING: Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) Ke-10 bakal menarik lebih 7,000 rakyat Sarawak termasuk pelajar yang menetap di seluruh Semenanjung untuk menghadiri program yang berlangsung pada 20 Oktober ini.
Pengerusi penganjur, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif yang dibuat oleh kerajaan negeri pada setiap tahun itu ternyata mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kumpulan pelajar di sana.
“Oleh itu, atas sokongan kerajaan negeri, kita meneruskan lagi program itu untuk mengumpul anak-anak Sarawak dari seluruh Semenanjung mengetahui kedudukan negeri Sarawak selepas pilihan raya lalu.
“Menerusi Gabungan Parti Sarawak, Ketua Menteri kita akan memberi pandangan dan mesej kepada anak-anak Sarawak di Semenanjung dan hala tuju negeri ini yang harus diketahui oleh mereka,” katanya pada sidang media mengenai Lan Berambeh Anak Sarawak selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabat beliau di Kompleks DUN baharu, hari ini.
Pada tahun ini, program yang dinanti-nantikan itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Turut hadir semasa kunjungan itu ahli jawatankuasa program itu termasuk Ketua Whip GPS Parlimen yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan ahli parlimen lain.