SEPTEMBER 2018

Usahawan Sarawak sertai expo China-Asean Ke-15 di Nanning, China


KUCHING: Seramai 10 orang usahawan dari Sarawak mengambil bahagian dalam Expo China-Asean (CAEXPO) Ke-15 di Nanning, China bermula pada hari ini.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Naroden Majais berkata, usahawan dari Sarawak membawa pelbagai produk makanan masing-masing.

“Antara produk yang mereka perkenalkan ialah makanan dalam tin melibatkan produk dari lada hitam, sarang burung, durian, kelupis dan juga perencah laksa Sarawak,” katanya.

Naroden yang mengetuai delegasi usahawan dari Sarawak menambah, expo tersebut boleh dijadikan platfom bagi membuka ruang dan peluang pemasaran perniagaan dengan lebih luas lagi.

“Saya yakin harapan usahawan dari Sarawak adalah supaya produk mereka dapat diterima oleh pengguna negara China dan negara-negara lain yang mengambil bahagian dalam expo tersebut,” katanya.

Jelas Naroden lagi, Sarawak khususnya menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang Sarawak sentiasa berusaha membantu usahawan tempatan dalam mengembang perusahaan mereka ke luar negara.

Beliau memberi contoh, produk lada hitam iaitu minyak untuk mengurut lutut apabila sudah tersiar berita tentang produk tersebut di dalam suratkhabar telah mendapat tempahan sebanyak 1,000 botol.

Terdahulu, Naroden menghadiri Majlis perasmian Malaysia Pavilion @ Expo China-Asean (CAEXPO) Ke- 15 di Nanning, China yang telah disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Dr Ong Kian Ming.

CAEXPO berlangsung dari 11 hingga 13 September.