JANUARI 2021

iSarawakCare Untuk Pendigitalan, Integrasi Inisiatif KWKPK


KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak sedang membangunkan sistem iSarawakCare sebagai usaha mendigital dan mengintegrasikan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, platform ini memberi akses mudah kepada rakyat untuk berkomunikasi dengan pihak kementerian dan menggunakan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Komponen platform iSarawakCare membolehkan penyatuan antara agensi, perniagaan, dan komuniti Negeri yang berkaitan dengan semua jenis bantuan kebajikan dan perkhidmatan sosial,” katanya semasa berucap dalam majlis serah dan terima tugas jawatan Setiausaha Tetap baharu KWKPK di Kuching pada Selasa.

Jelas Dato’ Sri Fatimah lagi, melalui platform iSarawakCare, rakyat Sarawak akan dapat menyelesaikan transaksi dalam talian pada waktu dan tempat yang paling sesuai dengan mereka.

“Ini meningkatkan kecekapan urus niaga, mengurangkan perjalanan dan waktu tunggu kerana waktu tindak balas adalah dalam waktu nyata, dan mengelakkan kos pengangkutan dan pos yang tidak diperlukan terutama bagi mereka di luar bandar,” katanya lagi.- EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak