Julai 2019

Pemilik Tanah Terima Pampasan


SIBU: Seramai 216 pemilik tanah yang terlibat dengan projek pembinaan jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim dan projek pembinaan Jalan Rantau Panjang Rassau di Batang Igan Fasa I menerima pampasan tanah berjumlah lebih RM11.8 juta daripada kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei Sibu (JTS), hari ini.

Majlis penyampaian cek pampasan disempurnakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan.

Bagi projek Jalan dari Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Khim sepanjang 6.1 kilometer, 122 cek pampasan yang berjumlah lebih kurang RM7,932,270.79 telah diberikan kepada 110 penerima.

Projek Jalan Rantau Panjang Rassau Batang Igan Fasa I iaitu sepanjang 6.8 kilometer, sebanyak 113 cek yang berjumlah RM3,907,595.72 diberikan kepada 106 penerima.

Sehubungan itu, Len Talif yang membacakan teks ucapan Awang Tengah Alimenegaskan bahawa kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak merampas tanah rakyat, malah membayar dengan jumlah pampasan yang munasabah dan berbaloi.

"Kerajaan negeri membayar pampasan yang adil dan munasabah kepada pemilik tanah apabila pengambilan balik tanah dilakukan selaras dengan peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri (Bab 81) dan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Tidak ada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan tanah atau penggunaan harta secara paksa tanpa pampasan yang memadai," katanya.

Sumber dari: Jiwa Bakti